ASSALAMMUALAIKUM


Sunday 28 February 2016

Pekerjaan Menurut Islam



Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha maka keseluruhan tindakan dan amalan manusia yang melibatkan pekerjaan harian untuk mencari rezeki termasuk di dalam pengertian ibadat. Pekerjaan dan tugasan tersebut dilaksanakan dengan tekun, jujur dan ikhlas semata-mata kerana ianya satu yang dituntut oleh Allah dan Rasulullah s.a.w. 
Di antara kriteria yang perlu menjadikan sesuatu kerja itu termasuk dalam ibadat ialah: 

1) Pekerjaan tersebut mestilah halal dan bertepatan dengan syara’. 
2) Pekerjaan tersebut dikerjakan dengan niat yang ikhlas bagi mencari keredhaan Allah
3) Pekerjaan tersebut dilaksanakan dengan tekun, cekap dan professional serta penuh ihsan. 
4) Dalam pekerjaan tersebut mestilah mengambilkira prinsip-prinsip syara seperti adil, amanah, bertanggungjawab, syura dalam membuat keputusan dan seterusnya. 

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
 “ Mencari sara hidup yang halal adalah satu kewajipan di samping kewajipan-kewajipan yang difardhukan.” (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Baihaqi) 

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

“Allah sukakan hamba-Nya yang bekerja (secara professional). Barang siapa yang bertungkus lumus mencari sara hidup keluarganya maka ia seperti seorang mujahid pada jalan Allah.” (Riwayat Imam Ahmad)

 Menurut Abdul Ghani Shamsuddin et al 1989, Islam sangat mengutamakan kerja yang professional dan dilaksanakan dengan penuh tekun atau disebut sebagai itqan iaitu tekun, cermat, teliti dan kemas. Contoh yang terbaik boleh dilihat pada kehidupan peribadi Rasulullah sendiri dalam semua hal sama ada dalam urusan ibadat, bernegara, mengurus tadbir, mengurus keluarga, dan sebagainya. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari bahawa Rasulullah memunggah pasir untuk menjadikan kubu-kubu sehingga tertutup kulit perut baginda, bahkan baginda sanggup mengikat perut dan diselit dengan batu-batu untuk menahan lapar dalam masa peperangan Khandak. (Said Ramadhan Al-Buthi et al.) 

Tafsiran Majikan dan Pekerja dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994: 

Majikan ertinya majikan langsung atau majikan utama atau kedua-duanya. Majikan langsung berhubungan dengan pekerja yang diambil khidmat oleh atau melaluinya, ertinya seseorang yang telah mengakuijanji untuk melaksanakan, di tempat kerja di mana majikan utama menjalankan perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau pencariannya di bawah pengawasan majikan utama atau ejennya, kesemua atau mana-mana bahagian apa-apa kerja yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau pencarian itu dan termasuklah seseorang yang olehnya perkhidmatan seseorang pekerja yang telah membuat kontrak perkhidmatan dengannya dipinjamkan atau disewakan untuk sementara kepada majikan utama.

Majikan utama ertinya pemunya suatu industri atau orang yang dengannya seseorang pekerja telah membuat kontrak perkhidmatan dan termasuklah:

1) Pengurus, ejen atau orang yang bertanggungjawab bagi pembayaran gaji atau upah kepada seseorang pekerja 
2) Penghuni sesuatu tempat kerja 
3) Wakil di sisi undang-undang pemunya atau penghuni yang telah meninggal dunia
4) Mana-mana kerajaan di Malaysia, jabatan mana-mana kerajaan itu, pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun.

 Pekerja ertinya seseorang yang diambil kerja yang diberi gaji di bawah kontrak perkhidmatan mengenai atau yang yang berkaitan dengan kerja suatu industri yang baginya Akta ini terpakai dan : 

a) yang diambil kerja secara langsung oleh majikan utama mengenai apa-apa kerja industri itu, atau yang bersampingan dengan atau sebagai permulaan bagi atau yang berkaitan dengan kerja industri itu, sama ada kerja itu dilakukan oleh pekerja itu di tempat kerja atau di tempat lain. 

b) yang diambil kerja oleh atau melalui seseorang majikan langsung di tempat kerja industry itu atau di bawah pengawasan majikan utama atau ejennya mengenai kerja yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja industri itu, atau yang menjadi permulaan bagi kerja yang dijalankan dalam atau bersampingan dengan maksud industri itu.

c) yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan sementara kepada majikan utama oleh orang yang dengannya orang yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan itu telah memasuki suatu kontrak perkhidmatan. 

No comments :

Post a Comment

}, 10); Islam Allah